produk-produk

Selasa, 19 Januari 2016

Tips Insurans Kenderaan






Salam pagi selasa kepada semua. Semoga hari ini lebih baik dari hari semalam. Kebanyakkan dari kita mempunyai kenderaan samaada motosikal dan kereta. Hari ini saya akan berkongsi beberapa maklumat berkaitan insurans kenderaan untuk makluman semua. Yang terbaik pilihlah insurans kenderaan first party dan syarikat insurans yang shariah compliance.Di bawah ini sedikit perkongsian yang saya tuliskan untuk semua.

Buat Insurans Kenderaan di Pejabat Insurans
Masih ramai pengguna insurans yang tidak ambil maklum kelebihan ini. Ada kelebihan sebagai pengguna jika membuat insurans di pejabat Insurans contoh Etiqa Takaful atau Syarikat Takaful Malaysia. Pengguna akan mendapat diskaun sepuluh peratus ke atas jumlah premium insurans tersebut.

Sebagai contoh jika insurans yang dikenakan adalah RM1000, tolak diskaun 10 peratus maka baki bayaran yang perlu dijelaskan hanyalah RM900. Sebagai pengguna kita sudah jimat RM100. Jika kita kesuntukan masa boleh juga meminta staff syarikat insurans tersebut membuat cukai jalan untuk kita. Yang penting kena bertanya dahulu kepada staff tersebut jika menyediakan perkhidmatan tersebut. Pengguna sendiri boleh membuat cukai jalan di Pejabat Pos dan Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan.

Nilai Semasa Kenderaan
Mengetahui nilai semasa kenderaan memang penting semasa membuat pembaharuan insurans kenderaan. Yang terbaik adalah nilai semasa kenderaan sama dengan nilai kenderaan yang diinsuranskan. Sebagai contoh jika harga semasa Proton Saga tahun 2010 adalah RM18,000. Tapi kita ingin berjimat bayaran insurans dan membuat insurans pada nilai RM10000 sahaja. Jika berlaku kemalangan dan kereta kita total loss, syarikat insurans hanya akan membayar pampasan sebanyak RM10000 sahaja. Pengguna sudah kerugian RM8000 kerana tidak ambil tahu perkara seperti ini.

Kepada pengguna yang masih mempunyai baki pinjaman dengan pihak bank, haruslah mempunyai insurans dengan nilai semasa kenderaan. Jika kita menggunakan contoh diatas. Pengguna  terpaksa menanggung kerugian RM8000. Pihak insurans hanya akan membayar kepada bank RM10000. Pengguna wajib menjelaskan baki RM8000 dengan menggunakan duit sendiri kepada pihak bank. Kereta pula tidak digunakan kerana sudah total loss kerana kemalangan.

Tambah Nama Pemandu
Biasanya kenderaan kita dipandu oleh suami dan isteri. Jika kereta digunakan oleh ahli keluarga lain bolehkan menambah nama pemandu pada polisi insurans. Untuk makluman nama sendiri dan nama kedua tiada caj dikenakan. Nama tambahan seterusnya akan dikenakan caj RM10 bagi setiap nama pada polisi insurans.

Sesetengah kita mengambil mudah perkara sebegini. Jika berlaku kemalangan dan yang membawa kenderaan tiada nama pada polisi insurans, kenderaan itu akan dikenakan excess RM400. Lebih baik membayar RM10 bagi setiap nama daripada kena bayar RM400. Yang terbaik nama pemilik kenderaan , isteri dan pengguna yang selalu gunakan kereta itu berada dalam senarai nama pemandu dalam polisi insurans.

Perlindungan Cermin Kenderaan
Setiap kenderaan harus menginsuranskan windscreen kenderaan masing-masing. Perlindungan insurans cermin kenderaan seperti insurans kenderaan juga. Jika tiada berlaku keretakan cermin atau cermin pecah, memanglah kita akan berasa rugi. Tapi jika berlaku mesti rasa bersyukur sebab cermin kenderaan telah diinsuranskan.

Banyak penyebab yang menyebabkan cermin kenderaan retak dan pecah seperti terkena tayar lori yang terpelanting, batu yang jatuh dari belakang lori dan serpihan batu dari tukang mesin rumput. Nilai tambahan yang dikenakan atas insurans windscreen adalah 15 peratus dari premium. Sebagai contoh premium insurans adalah RM1000 dan insurans windscreen ialah RM150. Nilai insurans bergantung kepada insurans single layer atau double layer mengikut jenis kenderaan. Semakin mahal dan besar cc kenderaan semakin mahal insurans windscreen. Sekarang harga cermin baru double layer diantara RM500 sehingga RM2000 bergantung kepada jenis dan kapasiti kenderaan.

Perlindungan Tambahan
Sekarang  banyak syarikat insurans yang menyediakan perlindungan tambahan kepada polisi insurans kenderaan. Bagi kenderaan yang sudah berusia sekarang ada syarikat yang mewajibkan pengguna mengambil sekali dengan Insurans Personal Accident. Untuk pengguna yang kawasan tempat tinggal terdedah dengan banjir ,bolehlah ambil sekali dengan tambahan polisi banjir. Apepun sila rujuk dengan syarikat insurans yang berkenaan.

Kelebihan NCD Kepada Kenderaan
NCD adalah No Claim Discount. Maksudnya jika tiada tuntutan pada tahun tersebut, nilai NCD akan bertambah pada tahun hadapan.Nilai NCD maksimum bagi kereta adalah 55 peratus dan motorsikal adalah 25 peratus. Nilai maksimum NCD kenderaan syarikat juga 25 peratus seperti NCD motorsikal.

Saya cadangkan jika membeli kenderaan baharu sebaiknya pindahkan NCD kenderaan lama kepada kenderaan baru. Sebabnya NCD kenderaan baru adalah 0 peratus. Jika berjaya pindahkan NCD kenderaan lama kepada kenderaan baru , sebagai pengguna kita akan jimat banyak. Sebagai contoh premium insurans kenderaan baru RM2000 dan tolak NCD 55 peratus dari kenderaan lama.
Baki premium yang perlu dibayar hanyalah RM900 tidak termasuk caj GST dan duti stamp.

Rebat Insurans
Berita baik kepada pemegang polisi insurans Syarikat Takaful Malaysia, jika tiada tuntutan dibuat pada tahun polisi diperbaharui. Pihak Takaful Malaysia akan membayar rebat insurans sebanyak 15 peratus dari nilai premium. Rebat tersebut akan dikreditkan ke akaun pengguna atau dihantar cek ke alamat rumah pengguna.

Akhir kalam saya hanya pengguna kenderaan seperti anda semua. Saya bukanlah ejen insurans yang bertauliah. Sebarang pendapat profesional hendaklah merujuk kepada syarikat insurans yang berkenaan. Sekian terima kasih.



3 ulasan:

  1. Hi nak tanya kalau dah renew insurance kereta tapi nak tambah lagi nama boleh ke ? Thanks 😀

    BalasPadam