produk-produk

Sabtu, 20 Februari 2016

10 Kelebihan Menjadi Ahli Lembaga Pengarah Koperasi






Ahli Lembaga Pengarah Koperasi dilantik oleh Mesyuarat Agong tahunan koperasi. Mesyuarat Agong merupakan kuasa tertinggi dalam sesuatu organisasi koperasi. Pemilihan Ahli Lembaga Pengarah biasanya dibuat melalui pengundian semasa mesyuarat agong tahunan. ALK yang akan membentangkan kedudukan laporan tahunan , cadangan bajet tahunan dan perkembangan semasa koperasi kepada anggota koperasi semasa mesyuarat agong tahunan.

Info tambahan yang saya ingin kongsi, Undang-undang koperasi di Malaysia diluluskan oleh pemerintahan British pada tahun 1922. Syarikat Bekerjasama Jimat Cermat dan Pinjam Wang Jabatan Pos dan Telekom Berhad merupakan koperasi yang pertama ditubuhkan di Malaysia. Koperasi Bank Kerjasama Rakyat telah ditubuhkan pada tahun 1954.

Dibawah ini adalah kelebihan menjadi ALK sesuatu koperasi :

1)Elaun Tetap Bulanan
Elaun ini diberikan secara bulanan kepada ahli lembaga pengarah yang terlibat sahaja. Biasanya pengerusi, setiausaha dan bendahari yang layak mendapat elaun tetap bulanan. Jumlah elaun yang dibayar bergantung bajet tahunan dan kelulusan mesyuarat agong tahunan koperasi.

2)Elaun Sara Hidup
Elaun sara hidup diberikan kepada semua ALK apabila menghadiri kursus atau program dibawah kelolaan koperasi. Ahli Lembaga Pengarah juga boleh membuat tuntutan perjalanan dan tuntutan hotel bila menghadiri kursus tajaan koperasi.

3)Elaun Mesyuarat
Elaun mesyuarat diberikan setiap kali ALK menghadiri mesyuarat lembaga koperasi. Jumlah yang diberikan bergantung kepada bajet tahunan dan kedudukan ALK itu sendiri. Sebagai contoh elaun mesyuarat pengerusi RM250, bendahari dan setiausaha RM200 serta ALK yang lain RM150 setiap kali mesyuarat diadakan.

4)Honorarium Tahunan
Honorarium juga boleh disebut elaun kerja ALK. Honorarium biasanya diberikan selepas genap tempoh setahun setiap ALK menjadi Ahli Lembaga Pengarah  sesuatu koperasi. Pemberian honorarium hanya dapat diberikan selepas kelulusan bertulis Suruhanjaya Koperasi Malaysia. Biasanya honorarium yang besar diberikan kepada koperasi yang besar seperti Bank Kerjasama Rakyat dan koperasi Permodalan Felda

5)Elaun mesyuarat agong dan Mesyuarat perwakilan
Elaun mesyuarat bermaksud elaun yang diterima kerana datang ke mesyuarat agong sesuatu koperasi. Jumlah elaun yang diterima bergantung kepada peruntukan bajet  tahunan koperasi itu. Untuk melayakkan kita untuk hadir ke mesyuarat agong, setiap anggota perlu menjelaskan mempunyai modal saham minimum sesuatu koperasi. Sebagai contoh untuk layak menghadiri mesyuarat perwakilan koperasi Bank Persatuan, setiap ahli hendaklah mempunyai minimum modal saham RM500. Ahli Lembaga Pengarah juga layak mendapat elaun mesyuarat agong seperti anggota koperasi yang lain.

6)Pinjaman
Biasanya ahli koperasi di Malaysia menjadi anggota koperasi adalah untuk meminjam. Sebenarnya banyak kelebihan lain menjadi ahli koperasi. Banyak jenis pinjaman yang disediakan koperasi sama seperti bank perdagangan yang lain. Contoh-contoh pinjaman yang ada Pinjaman Kecemasan. Pinjaman Runcit, Pinjaman Qadrul Hassan Dan Pinjaman Murabahah. Kelayakan pinjaman koperasi biasanya mengikut penyata gaji atau modal yuran anggota. Bagi koperasi yang menyediakan perkhidmatan pinjaman, peminjam akan terikat dengan potongan gaji dari pihak Angkasa. Bagi koperasi kredit . biasanya permohonan pinjaman akan dibawa ke mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah untuk kelulusan. Contoh koperasi yang menyediakan pinjaman kepada ahli adalah Bank Rakyat, Bank Persatuan, Koperasi Permodalan Felda, Koperasi Tentera dan Koperasi Wawasan. Ahli Lembaga Pengarah juga layak memohon pinjaman seperti anggota koperasi yang lain.

7)Dividen tahunan
Dividen tahunan antara penyebab kenapa kita berminat menjadi ahli sesebuah koperasi. Biasanya ahli akan mencari koperasi yang memberi dividen yang tinggi. Kelebihan dividen koperasi adalah tidak dikenakan cukai pendapatan individu . Dividen koperasi juga telah dibayar zakat oleh koperasi itu. Contoh koperasi yang bagi dividen melebihi sepuluh peratus ialah Bank Rakyat, Koperasi Wawasan dan KOSMA. Untuk makluman semua , dividen melebihi sepuluh peratus perlu mendapat kelulusan bertulis Suruhanjaya Koperasi Malaysia. Ahli Lembaga Pengarah juga layak mendapat  dividen tahunan seperti anggota koperasi yang lain.

8)Dermasiswa Pendidikan
Dermasiswa adalah salah satu kelebihan menjadi ahli koperasi. Dermasiswa yang boleh dituntut adalah untuk diri sendiri dan anak-anak. Ada koperasi yang boleh menuntut dermasiswa dari peperiksaan Upsr sehingga degree. Jumlah dermasiswa bergantung kepada Undang-undang kecil koperasi dan Aturan-Aturan koperasi.   Syarat untuk memohon dermasiswa pendidikan biasanya telah cukup modal saham minimum dan telah menjadi anggota selama setahun. Syarat-syarat lain bergantung kepada syarat yang ditetapkan oleh koperasi itu sendiri. Ahli Lembaga Pengarah juga layak mendapat dermasiswa seperti anggota koperasi yang lain.

9)Khairat kematian
Sumbangan khairat kematian  diberikan kepada diri sendiri dan ahli keluarga. Jumlah sumbangan bergantung kepada Undang-Undang Kecil dan Aturan-Aturan Koperasi. Ada koperasi yang menyediakan  pakej caruman insurans sebagai sumbangan khairat kematian.Yang penting anggota atau waris membuat surat permohonan dengan mengemukakan bukti sijil kematian dan permit kubur.
Ahli Lembaga Pengarah juga layak mendapat sumbangan khairat kematian seperti anggota koperasi yang lain.

10)Sumbangan musibah
Sumbangan jenis ini biasanya perlu membuat surat bagi memohon sumbangan. Seterusnya permohonan itu akan dibawa ke mesyuarat Ahli lembaga Pengarah untuk pertimbangan dan kelulusan. Contoh sumbangan musibah ialah kemalangan, kecurian dan penyakit.  Jumlah   sumbangan mengikut kelulusan mesyuarat ALĶ dan Aturan-Aturan  koperasi. Ahli Lembaga Pengarah juga layak mendapat memohon sumbangan musibah seperti anggota koperasi yang lain.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan